Peraiaran Laut China Selatan berhampiran Kepulauan Spratly mungkin menjadi kawasan perang terbaru dunia jika China terus melaksanakan kerja-kerja pembangunan kawasan tersebut.
Utusan Malaysia melaporkan bahawa Amerika Syarikat (AS), hari ini, berikrar untuk terus menghantar pesawat tentera dan kapal perang ke perairan yang menjadi pertikaian di Laut China Selatan dan meminta Beijing segera menghentikan kerja-kerja tebus guna tanah di kawasan berkenaan.
Setiausaha Pertahanan AS, Ashton Carter dalam satu persidangan keselamatan di Singapura berkata, aktiviti tebus guna tanah yang giat dilakukan oleh Beijing itu ‘bercanggah’ dengan norma-norma antarabangsa.
Sementara itu, China, baru-baru ini dilaporkan menghantar dua unit artileri ke sebuah pulau buatan di Laut China Selatan, tindakan yang menggambarkan Beijing cuba memperluaskan ketenteraannya di kawasan perairan itu.
Senjata-senjata berat itu dihalakan ke arah kawasan maritim yang turut dituntut Vietnam, sehingga mencetuskan kebimbangan Washington bahawa tindakan China membina banyak pulau buatan bertujuan ketenteraan, kata pegawai Amerika Syarikat.
Ini merupakan kali pertama China dituduh menghantar artileri dan senjata-senjata lain ke pulau-pulau buatan di kawasan maritim itu.
“Kami membantah tindakan (China) menjadikan pulau-pulau ini sebagai pangkalan ketenteraan,” kata jurucakap Pentagon, Colonel Steven Warren kepada pemberita.
China dan Amerika Syarikat terjebak dengan perang mulut berhubung isu Laut China Selatan, di mana Beijing kini giat membina terumbu buatan meliputi kawasan seluas kira-kira 800 hektar, termasuk 600 hektar sejak Januari lalu.
Pembinaan itu termasuk pos kawalan yang digunakan sebagai sistem pemantauan, pelabuhan, logistik sokongan dan lapangan terbang, menurut laporan terbaharu Pentagon berhubung ketenteraan China.
Rabu lalu, Carter, yang sedang dalam lawatan 10 hari ke Asia berkata, Washington mahukan “satu penyelesaian aman dan segera terhadap semua pertikaian, serta menghentikan serta-merta penambakan tanah oleh negara-negara terbabit dalam pertikaian di Laut China Selatan.”
AS berpendirian kawasan yang dituntut oleh China merupakan ruang udara dan perairan antarabangsa, dan telah menghantar pesawat-pesawat pemantau serta kapal-kapal tentera laut untuk menegaskan pendirian AS itu.
Di Hawaii, Ketua Pentagon itu juga berkata “Kamu jangan salah faham: AS akan menghantar pesawat, kapal dan akan beroperasi di mana-mana sahaja di perairan antarabangsa yang dibenarkan oleh undang-undang antarabangsa seperti yang sedang kami lakukan di seluruh dunia sekarang.”
Tindakan Beijing di Laut China Selatan adalah “di luar bantasan antarabangsa dan biasa” dan “kesepakatan serantau” menentang sebarang kaedah kekerasan untuk menyelesaikan pertikaian wilayah, kata Carter.
Minggu lalu, tentera China mengarahkan pesawat pemantau tentera laut AS, P-8 Poseidon supaya beredar dari ruang udara di kawasan maritim yang dipertikaikan di Kepulauan Spratly, tetapi pesawat AS berkenaan enggan mematuhi permintaan itu dengan mendakwa ia terbang di kawasan antarabangsa.


