DALAM tempoh sedekad lalu, Malaysia telah melalui pelbagai ancaman kumpulan militan. Antaranya, al-Maunah, al-Qaeda, Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM).
Kini negara sekali lagi berhadapan ancaman kumpulan militan iaitu Daesh yang menjadi isu besar di seluruh dunia pada masa kini. Berbeza dengan ancaman gerakan-gerakan militan sebelum ini, Daesh dianggap lebih berbahaya kerana menggunakan media sosial untuk mempengaruhi dan merekrut ahli baharu termasuk mengeluarkan arahan untuk melakukan serangan.
Sebelum ini banyak pihak memandang ringan ancaman Daesh di Malaysia dengan bersandarkan kepada faktor sikap sebahagian besar umat Islam di negara ini yang sederhana dan tidak percaya kumpulan tersebut akan melakukan serangan di sini.
Namun, letupan bom tangan di pusat hiburan Movida di Puchong, Selangor baru-baru ini yang disahkan didalangi kumpulan pengganas Daesh iaitu serangan pertama kumpulan itu di Malaysia, adalah mesej jelas bahawa tidak ada negara di dunia ini yang boleh bebas 100 peratus daripada serangan pengganas.
Negara maju dan hebat seperti Amerika Syarikat (AS), Perancis dan Turki pun tidak terkecuali menjadi sasaran keganasan kumpulan tersebut. Bahkan, tempat suci umat Islam di Madinah juga diserang oleh kumpulan militan tersebut. Rencam minggu ini melihat ancaman Daesh di rantau ini khususnya di Malaysia.
FILIPINA
Kumpulan militan Islam di Filipina sebahagian besar berada di wilayah yang mempunyai majoriti penduduk Islam terutama di Mindanao. Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) merupakan antara gerakan Islam terbesar di selatan Filipina yang menuntut kemerdekaan daripada Filipina.
Kumpulan tersebut memilih pendekatan diplomatik dan telah mencapai perjanjian damai dengan kerajaan Filipina. MILF antara kumpulan Islam di negara itu yang berunding dengan kerajaan Filipina bagi memperoleh kuasa autonomi untuk penubuhan Bangsamoro.
Namun, apabila Undang-undang Asas Bangsamoro (BBL) gagal dibentangkan pada persidangan Kongres Filipina ke-16 pada Februari lalu, ia memberikan kesan kepada penubuhan Bangsamoro. Punca utama BBL gagal dibentangkan ialah peristiwa berdarah Mamasapano pada Januari 2015 yang menyebabkan 44 anggota gerak khas Polis Filipina terkorban. Pejuang Kebebasan Islam Bangsamoro (BIFF) yang merupakan serpihan daripada MILF disalahkan atas kejadian itu.
Kegagalan BBL dibimbangi akan menyebabkan MILF dan kumpulan Islam lain yang menggunakan cara diplomasi beralih menyokong Daesh untuk menubuhkan kerajaan Islam Nusantara dengan mengangkat senjata.
Satu lagi kumpulan militan di Filipina, Abu Sayyaf yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda telah menyatakan sokongan kepada Daesh. Walaupun ditubuhkan dengan matlamat untuk menubuhkan kerajaan Islam, Abu Sayyaf telah berkembang menjadi kumpulan pengganas yang berorintesikan keuntungan. Kumpulan tersebut terlibat dalam penculikan untuk mendapatkan wang tebusan yang berlaku di negara itu dan Malaysia untuk membeli senjata. Mereka juga amat ganas dan tidak teragak-agak membunuh tebusan jika wang tebusan tidak dibayar.
Namun, Abu Sayyaf cuma kumpulan militan yang kecil. Meskipun menyokong Daesh, ancaman Abu Sayyaf terhadap rantau ini adalah kecil. Apa yang dibimbangi ialah jika semua kumpulan militan Islam yang ada di rantau ini bergabung di bawah Daesh. Tetapi itu agak mustahil kerana hanya sebahagian sahaja yang menerima ideologi Daesh.
THAILAND
SAMA seperti Filipina, kumpulan militan yang wujud di selatan Thailand disebabkan perjuangan menuntut kuasa autonomi. Keganasan-keganasan yang berlaku di selatan Thailand bukan hanya melibatkan kumpulan militan Islam, malah samseng.
Tuntutan umat Islam selatan Thailand itu lebih kepada untuk perjuangan untuk keadilan sosial dan ekonomi kerana mereka ditindas dan dipinggirkan dalam program pembangunan oleh kerajaan Thailand.
Tidak mustahil kekecewaan berterusan ini akan menyebabkan golongan ini terpengaruh dengan apa yang berlaku di Syria dan Iraq, untuk kembali aktif melakukan serangan. Perkembangan di selatan Thailand sejak kebelakangan yang menyaksikan serangan keganasan kembali berlaku perlu diberikan perhatian serius.
Letupan bom di sebuah kuil yang mengorbankan 20 orang di Bangkok pada Ogos tahun lalu adalah antara keganasan terburuk di Thailand. Meskipun belum dapat dipastikan motif serangan tetapi penyerang didakwa merupakan rakyat Turki dan China. Juga tidak diketahui sama ada mereka ini ahli Daesh atau sebaliknya.
Namun, banyak pihak melihat Daesh tidak mampu untuk memberikan ancaman kepada Thailand kerana bilangan anggota kumpulan militan Islam yang sedikit di negara tersebut tetapi serangan keganasan yang dilakukan akan memberikan impak kepada ekonomi.
INDONESIA
PADA 14 Januari lalu, Indonesia sekali lagi dikejutkan dengan serangan pengganas di Jakarta yang mengorbankan empat orang awam dan empat penyerang serta mencederakan 23 orang yang lain. Itu merupakan serangan pertama yang dilakukan oleh Daesh di negara tersebut.
Namun, Indonesia bukan asing dengan serangan pengganas. Selama ini, JI mendominasi serangan keganasan di negara berkenaan. Ini termasuklah serangan bom di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang. Begitu juga dengan serangan di Hotel JW Marriott, Jakarta pada 5 Ogos 2003 dan serangan di hotel sama dan Hotel Ritz-Carlton pada 17 Julai 2009.
JI kini sudah lumpuh dengan penangkapan pemimpin-pemimpinnya termasuk Abu Bakr Bashir yang kini berada dalam penjara. Ia menyebabkan munculnya kumpulan serpihan yang dikenali sebagai Jemaah Anshorut Tauhid (JAT) pada 2008 dan serpihan JAT, Jamaah Ansharusy Syariah (JAS) pada 2014. Kedua-dua pertubuhan itu mahu undang-undang syariah dilaksanakan di Indonesia.
Walaupun ancaman JI mungkin sudah tidak ada, tetapi sebahagian ahli pertubuhan itu masih banyak. Kemunculan kumpulan militan Daesh di Indonesia dibimbangi akan menarik ahli-ahli JI untuk menyertainya.
Daesh berhasrat menubuhkan Katibah Nusantara iaitu negara Daesh Asia Tenggara yang merangkumi Indonesia, Malaysia, Singapura, selatan Filipina dan selatan Thailand. Ini bermakna, Daesh mungkin sudah berjaya mendapat sokongan daripada kumpulan-kumpulan militan di rantau ini.
Indonesia adalah negara yang memiliki populasi umat Islam terbanyak di dunia. Daripada 250 juta penduduk, 80 peratus daripadanya adalah orang Islam. Ini menjadikan Indonesia sebagai negara yang sesuai untuk Daesh mengembangkan ideologinya. Jadi, tidak mustahil, lebih banyak serangan oleh Daesh akan menggegarkan Indonesia selepas ini.
Namun, ideologi Daesh yang ganas ditolak oleh umat Islam di Indonesia dan Malaysia. Kaji selidik yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Pew mendapati hanya empat peratus rakyat Indonesia bersimpati dengan Daesh manakala di Malaysia (11 peratus).
Pertubuhan Islam terbesar di Indonesia, Nahdatul Ulama (NU) yang mempunyai lebih 50 juta ahli turut mengutuk tindakan dan menolak ideologi Daesh.
MALAYSIA
BERBEZA dengan Indonesia, Thailand dan Filipina, Malaysia belum pernah menghadapi isu besar melibatkan kumpulan militan. Ancaman kumpulan militan al-Maunah, al-Qaeda, Jemaah Islamiah (JI) dan Kumpulan Militan Malaysia (KMM) yang wujud sebelum ini berjaya dibanteras dari peringkat awal sebelum ia berkembang sehingga sukar dikawal.
Antara faktor utama yang menyebabkan Malaysia mempunyai risiko rendah terdedah kepada serangan militan dari dalam ialah tindakan pantas dan proaktif yang diambil oleh Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dalam melakukan pencegahan awal. Ini terutamanya dalam membuat risikan, pemantauan di laman media sosial dan menangkap suspek.
Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sepanjang tahun lalu, polis menangkap sebanyak 82 orang termasuk 73 rakyat tempatan kerana disyaki terlibat dengan Daesh. Pada tahun sebelumnya, sebanyak 59 orang termasuk 47 orang tempatan ditangkap kerana kesalahan sama.
Pada 22 hingga 24 Mac lalu, pelajar, polis dan juruteknik kapal terbang antara 15 suspek yang ditahan dalam beberapa operasi yang dijalankan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur.
Dari pertengahan hingga hujung Mei lalu pula, polis menangkap 14 orang suspek termasuk seorang wanita dalam serbuan yang dibuat di Johor, Selangor, Perak, Kedah, Perlis dan Kuala Lumpur. Susulan letupan bom di pusat hiburan Movida di Puchong pada 28 Jun lalu, polis menahan 15 orang suspek termasuk dua orang yang dipercayai terlibat dalam serangan tersebut.
Meskipun ancaman militan di negara ini begitu rendah, kemunculan laporan bahawa terdapat usaha untuk mewujudkan gabungan pro-Daesh di Asia Tenggara melibatkan kumpulan militan dari Malaysia, Indonesia dan Filipina perlu dipandang serius.
Walaupun sudah tidak aktif, tiga kumpulan militan iaitu Tanzim al-Qaeda Malaysia, Kumpulan Mujahidin Malaysia dan Darul Islam Sabah boleh menjadi ancaman sekiranya bergabung dengan gerakan militan dari negara-negara lain di rantau ini.
Selain itu, laporan oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bahawa lebih 1,000 orang rakyat Asia Tenggara telah menyertai Daesh di Syria atau Iraq juga diberikan perhatian. Sebahagian daripada mereka ini mungkin akan pulang ke tanah air dan menubuhkan sel Daesh masing-masing. Mereka juga boleh merekrut ahli baharu dari negara ini menerusi media sosial.
Dalam pada itu, berdasarkan Indeks Keganasan Global 2015 oleh The Insitute for Economics and Peace (Institut untuk Ekonomi dan Keamanan), Malaysia berada di tangga ke-49 dari segi risiko ancaman keganasan.
Kedudukan tersebut jauh lebih baik berbanding Thailand di tangga ke-10 dan Filipina ke-11, tetapi isu militan di dua negara jiran itu terutama di selatan Filipina boleh menggugat keselamatan negara.
Pencerobohan pengganas Sulu di Sabah pada 2013 yang menyebabkan 10 anggota keselamatan terkorban adalah contoh jelas bahawa risiko serangan pengganas dari negara jiran ke atas negara tidak boleh diambil mudah. Penculikan rakyat tempatan oleh militan dari selatan Filipina masih berlaku di kawasan perairan Sabah.
Apatah lagi, Daesh yang semakin kehilangan kawasan dan pejuang di Syria dan Iraq, mungkin mahu mengembangkan operasinya di rantau ini yang mempunyai bilangan umat Islam yang besar. Berdasarkan beberapa laporan antarabangsa, beberapa kumpulan militan yang ada di rantau ini telah menyatakan sokongan kepada Daesh.
Sebelum ini, tidak ada siapa menjangkakan atau percaya Daesh akan melakukan serangan di negara ini tetapi ia telah berlaku di pusat hiburan Movida. Kumpulan tersebut juga pernah mengancam untuk melakukan serangan ke atas Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pernah mendedahkan bahawa selain namanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Hishammuddin Tun Hussien turut berada dalam senarai penculikan Daesh pada tahun lalu.
Syria dan Iraq juga tidak menjangkakan Daesh boleh menyerang dan menguasai sebahagian wilayah dalam negara itu tetapi ia telah berlaku. Lihatlah apa yang berlaku ke atas rakyat negara itu sekarang.


