Ancaman Daesh menjadi topik panas di Malaysia berikutan serangan pertama pada 28 Jun lalu. Untuk menangani ancaman Daesh, kita perlu memahami strategi media Daesh iaitu dengan menyelusuri sejarah dan aktiviti media Daesh. Media Daesh bermula pada November 2006 (ketika itu bernama Islamic State of Iraq) dengan penubuhan Al Furqan Institute for Media Production yang berfungsi mengedarkan CD, DVD, poster, risalah serta kempen secara online.
Pada masa sama, muncul pelbagai forum online yang membincangkan jihad qital, menjustifikasi jihad qital, dan menarik bakal militan, khususnya di Asia Barat. Kemudian Al-I'tisaam Media Foundation ditubuhkan pada Mac 2013 dan Al-Hayat Media Center pada April 2014 yang menghasilkan pelbagai video dan bahan memaparkan temu bual dengan militan, menyasarkan bakal militan dari Barat dan menggunakan bahasa Arab, Inggeris, Jerman dan Russia.
Antara lagu popular Daesh adalah My Ummah, Dawn Has Appeared yang diterbitkan pada Disember 2013 di Youtube. Antara Januari hingga Mac 2014, 154,120 tweet dilakukan oleh 59 militan Daesh dengan purata setiap militan mengepos 85 imej dan 91 video, dengan pengikut 29,000.
Kemuncaknya pada ketika itu (April 2014), Daesh melancarkan applikasi Android, Fajr al-Basha'er (Dawn of Good Tidings) yang memberi akses terkini kepada bahan Daesh untuk pelanggannya. Ketika serangan ke atas Mosul bermula, aplikasi ini menjana 40,000 tweet sehari, memaparkan berita dan gambar pergerakan militan Daesh memasuki kota Mosul.
Pada 5 Julai 2014, Daesh melancarkan majalah Dabiq dengan muka depan, susun atur, warna, grafik dan pengeluaran yang hampir setaraf dengan majalah TIME & Businessweek. Kajian dan bukti perisikan menunjukkan Dabiq bermula dengan empat staf sepenuh masa dengan editor dan wartawan dilantik dalam kalangan militan dari Eropah.
'Doktrin Salafi Wahhabi'
Mereka ini pandai IT, 'Google Addicts' dan mengikuti akhbar utama dunia dari Barat dan Asia Barat seperti New York Times, Washington Post, Wall Street Journal, Le Monde, Le Figaro, The Independent, Sunday Telegraph, Al-Quds al-Arabi, al-Watan dan al-Hayat. Pasukan Dabiq juga dikatakan 'melanggan melalui proksi' dengan pelbagai agensi dan media seperti Terrorism Monitor, RAND, Carnegie Middle East, Brookings Institutions, Reuters, Associated Press, Interfax, melayari TV Hizbullah (al-Manar) dan TV al-Mayadeen (disokong Iran).
Dabiq yang diterbitkan 15 edisi sehingga kini memaparkan bahan propaganda untuk orang Islam berhijrah ke Iraq/Syria, menyediakan 'justifikasi agama' untuk menghalalkan perhambaan seks dan gundik serta penyembelihan dan penyaliban besar-besaran.
Dabiq juga memaparkan gambar masjid dan makam Nabi/Wali Allah dimusnahkan berasaskan doktrin Salafi Wahhabi yang dianuti dan mempamerkan gambar peninggalan tamadun purba sebelum Islam yang dimusnahkan (yang tidak dimusnahkan sejak zaman Rasulullah SAW sehingga zaman moden).
Daesh menggerakkan Amaq News Agency yang berfungsi mulai September 2014 sebagai agensi berita melaporkan berita bagi pihak militan itu. Bermula 2015, Daesh menerbitkan akhbar mingguan al-Naba dalam bahasa Arab. Akhbar ini contohnya melaporkan serangan di Bangladesh, temu bual dengan Abu Musab al-Barnawi, pemimpin Boko Haram yang berikrar taat setia dengan Daesh, memaparkan biografi Mohammed Daleel, pengebom bunuh diri pada 24 Julai 2016 di Ansbach, Jerman, menggalakkan serangan 'lone wolf' di luar Iraq/Syria dan pengakuan Daesh dalam membunuh dan mencederakan lebih 5,200 sepanjang Ramadan lalu.
Kepantasan media Daesh terbukti dalam serangan lima militannya ke atas Holey Artisan Bakery di Dhaka, Bangladesh pada 1 Julai 2016 yang meragut 28 nyawa. Amaq News Agency melaporkan berita semasa dalam restoran itu melalui aplikasi Telegram, dengan memaparkan jumlah yang terbunuh dan tercedera serta gambar berdarah dalam restoran berkenaan, sebelum semua militannya berjaya ditumpaskan.
Ringkasnya, antara objektif strategi media Daesh boleh diringkaskan kepada:
l Menyebarkan propaganda dan ideologi
l Menyebarkan ancaman ke seluruh dunia
l Merekrut militan baharu untuk ke Iraq/Syria atau beroperasi sebagai sel kecil/'lone wolf' di luar Iraq/Syria
l Memperoleh dana dan mendapatkan simpati
l Membangunkan coding dan aplikasi baharu.
Tentera elektronik sepenuh masa
Kekuatan Daesh dalam IT dan media sosial tidak menghairankan kerana sebahagian militan datang dari negara maju dan IT savvy. Daesh jelas memiliki 'tentera elektronik sepenuh masa' di belakang mereka dan jaringan militan pada peringkat antarabangsa yang berperanan dalam 'perang siber'.
Berbanding strategi media Al-Qaeda dan kumpulan pengganas lain yang konservatif, Daesh 'berterus-terang' dalam mengakui dan memaparkan keganasan dan kekejaman mereka.
Di pihak Kerajaan Malaysia, selain usaha mengawal, menghalang, menapis dan memantau bahan di internet dan media, agensi-agensi keselamatan seharusnya bertindak proaktif, tidak seperti sebahagian kerajaan di Asia Barat yang masih terkebelakang dalam mendepani tech-savvy dalam kalangan Daesh.
Counter Messaging Centre (CMC) perlu disegerakan penubuhannya dengan bajet yang khusus, governans yang jelas dan jangkaan hasil yang objektif. Ahli dan penasihat CMC perlu dilantik dalam kalangan mereka yang pakar mengenai keganasan dan naratif balas.
Selain PDRM, ia boleh terdiri daripada wakil SKMM, pakar perang saraf, ahli akademik, ahli psikologi, pengkaji keganasan dan pakar IT. Laman sesawang khusus, talian panas, akaun Facebook, Twitter, Instagram dan blog perlu diwujudkan. Hebahan bahan naratif balas dalam bentuk info grafik, video pendek, video di Youtube dan fail PDF boleh dimuat-turun, perlu dirancakkan.
Kita memerlukan aplikasi Android/iOS, logo dan tagline khusus dalam memerangi Daesh. Malaysia berperang 41 tahun memerangi komunis, kita tidak boleh berperang selama 40 tahun lagi dalam memerangi Daesh.


