Australia hari ini memberi amaran, penggunaan aplikasi mesej disulitkan untuk merancang serangan pengganas adalah ancaman terbesar dihadapi agensi perisikan moden dan menggesa satu tindak balas 'bersatu dan padu'.
Menteri Dalam Negerinya, Peter Dutton memberitahu satu sidang kemuncak khas ASEAN-Australia di sini, penggunaan 'laman web gelap' oleh pengganas dan penjenayah lain adalah masalah meluas.
"Penggunaan aplikasi mesej disulitkan oleh pengganas dan penjenayah berpotensi menjurus kepada kemusnahan keupayaan perisikan dunia moden," katanya dalam mesyuarat pemimpin Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) itu.
Dutton menambah, satu-satunya cara menangani ancaman dan peningkatan penggunaan internet oleh kumpulan seperti Daesh untuk meradikalkan dan merekrut anggota baharu adalah menyelesaikannya secara bersama.
"Ketika negara kita memfokuskan membalas ancaman berterusan keganasan domestik, adalah silap untuk menangani masalah itu hanya daripada perspektif negara. Keganasan dan pelampau keganasan melangkaui sempadan negara.
"Membalas ancaman itu memerlukan satu usaha bersatu dan padu membabitkan penyelarasan antara keselamatan negara masing-masing dan agensi penguat kuasa undang-undang," katanya.
Canberra membantu negara Asia Tenggara menyekat pembiayaan pengganas dan menangani serangan itu.
Satu memorandum persefahaman akan dikeluarkan dalam sidang kemuncak itu hari ini, dilaporkan dengan perjanjian mengumpul sumber perisikan siber dan polis di seluruh rantau itu buat kali pertama.
Akhbar The Australian berkata, ia akan termasuk satu unit tugas khas forensik digital serantau dan rangka kerja perundangan seragam bagi melindungi pendakwaan.
Australia mengalami enam serangan pengganas sejak beberapa tahun lalu dan memintas 14 lain termasuk menggagalkan komplot menjatuhkan pesawat dari ibu kota ini.


