Penumpang di semua lapangan terbang Amerika Syarikat (AS) perlu melalui tapisan keselamatan lebih ketat menjelang musim panas tahun ini termasuk mengeluarkan makanan yang dibawa dari beg sebelum menjalani imbasan.
Jabatan Pengurusan Keselamatan Pengangkutan (TSA) dalam satu pengumuman semalam berkata, bahan yang sukar dikenal pasti oleh mesin pengimbas perlu dikeluarkan terlebih dulu dari beg bimbit masing-masing, sama seperti peraturan dikenakan ke atas komputer dan peranti elektronik sebelum ini.
Pegawai keselamatan berkata, pertubuhan ekstremis seperti militan Daesh sering mencari jalan untuk melancarkan serangan ke atas penerbangan awam.
Pentadbir TSA, David Pekoske berkata, jabatan itu akan melaksanakan pelbagai langkah bagi mengelakkan penerbangan awam dari terdedah kepada ancaman seumpama itu.
"Sebagai tambahan kepada peraturan yang mewajibkan semua peranti elektronik diimbas berasingan termasuk komputer riba, permainan elektronik dan buku eletronik, pegawai dari TSA mungkin akan turut mengarahkan penumpang mengasingkan barangan lain dari beg bimbit mereka.
"Ia mencakupi barangan seperti makanan, bedak dan objek lain supaya beg itu dapat diimbas dengan lebih jelas," katanya.
Menurut TSA, prosedur baru berkenaan sudah dilaksanakan dan ia mungkin akan menyebabkan penumpang perlu menunggu lebih lama untuk menjalani pemeriksaan keselamatan.


