MALAYSIA MENGHADAPI CABARAN GLOBAL 2017

Perkembangan global kini menjelaskan kita mengenai cabaran yang lebih besar bakal dihadapi pada 2017 ini. Cabaran yang dimaksudkan ialah kemakmuran global bergantung kepada kestabilan politik dan perkembangan ekonomi yang dinikmati masyarakat antarabangsa.
Secara umumnya, pihak Barat berada pada sikap khuatir, ketidaktentuan dan skeptikal terhadap politik ekonomi global 2017. Pada 2016, terpilihnya Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) menyebabkan negara lain seperti Kesatuan Eropah berasa tidak senang dengan pendekatan politik yang bakal dilakukan Trump. Trump dilihat akan mesra Russia yang menyebabkan Kesatuan Eropah (EU) mempersoalkan masa depan dasar AS terhadap Eropah.
United Kingdom (UK) dibelenggu dengan masalah Brexit yakni keluarnya UK dari EU. Ekonomi UK juga dilihat kurang stabil dan kebergantungan UK banyak terhadap sokongan dasar AS. Paling membimbangkan di Eropah ialah apabila sentimen antipendatang dan Islamophobia semakin meluap-luap seperti di UK, Perancis, Jerman, dan Austria. Gerakan sayap kanan yang antipendatang dan pekerja asing menyebabkan sedikit demi sedikit landskap politik Eropah dilihat bakal berubah pada 2017, kepada lebih bercorak perkauman.
Aktiviti pasaran kian terjejas
Yang jelas, kestabilan politik global banyak juga bergantung kepada kestabilan ekonomi dunia. Di sebalik mata wang dolar AS semakin mengukuh, mata wang global lain dilihat kurang stabil. Kerancakan proses globalisasi juga semakin berkurangan kerana aktiviti pasaran semakin terjejas dengan kelembapan sektor tenaga dan petroleum yang merencatkan kemakmuran global.
Namun, ada petanda positif akan prospek sektor petroleum 2017 yang diramalkan berkembang. Bank Dunia menjangkakan harga minyak mentah global akan naik AS$55 dolar (RM246.73) satu tong berbanding jangkaan AS$53 dolar (RM237.75) satu tong sebelum ini selepas Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) bakal mengurangkan pengeluaran minyak mentah bagi menstabilkan pasaran. Ini seterusnya bakal memberi kesan langsung positif kepada industri minyak tempatan khususnya di Malaysia.
Ramai tidak sedar bahawa sudah setahun negara Asia Tenggara mengecapi status Komuniti ASEAN pada 2016. Banyak usaha dilakukan bagi meningkatkan integrasi masyarakat Asia Tenggara dan menyatukan sektor ekonomi bagi menjadikannya satu unit ekonomi yang mantap.
Mungkin terlalu awal untuk menilai kejayaan dan kegagalan Komuniti ASEAN ini, namun 2017 bakal menyaksikan transformasi berlaku kepada pendekatan ASEAN yang dikenali sebagai ‘Cara ASEAN’ yang menolak campur tangan ke atas politik domestik di semua 10 negara anggota ASEAN.
Baru-baru ini Malaysia mengambil langkah drastik mengkritik Myanmar yang melancarkan kempen pembersihan etnik Rohingya lantas menjejaskan negara jiran seperti Malaysia, Thailand dan Indonesia yang terpaksa menerima pelarian Rohingya ini. Langkah campur tangan secara berhemah dan konstruktif perlu bagi merealisasikan konsep Komuniti ASEAN yang lebih makmur dan menjaga tatasusila kemanusiaan sejagat.
Ancaman Daesh
Cabaran utama global pada 2016 dan juga 2017 ialah bagaimana untuk menghadapi ancaman Daesh yang sedang melebarkan aktiviti keganasan mereka ke serata dunia. Selepas kedudukan mereka diserang hebat oleh pejuang tempatan yang mendapat sokongan pihak Barat diketuai AS dan negara lain seperti Russia di Syria dan Iraq, Daesh berasakan mereka harus memperluaskan aktiviti pengeboman seperti di Perancis, Belgium dan Turki.
Tidak ketinggalan Daesh juga sedang memperluaskan aktiviti mereka ke Asia Tenggara dan cuba merekrut belia untuk berjuang bersama mereka. Kejadian pengeboman berlaku di Indonesia serta Malaysia dan Abu Sayaf yang menyokong Daesh bergerak aktif di selatan Filipina.
Negara Asia Tenggara sedang memberikan tumpuan khusus untuk menangani ancaman Daesh. Malah, cabaran utama ialah melawan arus naratif propaganda Daesh yang aktif mencari ahli baharu menyertai mereka. Kerjasama antara negara ASEAN dilihat mampu menangani ancaman Daesh dan menghalang aktiviti keganasan berlaku di rantau ini.
Yang pasti di sebelah Asia Tenggara, isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan akan terus merencanakan hubungan geopolitik antara rantau Asia Tenggara dan China. Filipina dan Malaysia cuba berbaik-baik dengan China supaya ancaman konflik di Laut China Selatan dapat diredakan. China adalah sebuah negara kuasa besar dan kuasa ekonomi serantau, maka hubungan dengan China haruslah berjalan secara normal dan krisis perlu dielakkan.
Namun, ketegasan perlu ada juga bagi ASEAN meminta China patuh kepada kod tingkah laku supaya perairan Laut China Selatan kekal sebagai wilayah kelautan yang aman.
Jelas sekali, wujud bibit-bibit permasalahan pada peringkat global yang boleh menyebabkan konflik berlaku khususnya di rantau sebelah Asia. Namun, langkah dan strategi berkesan perlu diambil khususnya bagi negara kecil seperti Malaysia supaya konflik global, mahupun serantau dapat dielakkan dan rakyat Malaysia masih boleh lagi menikmati kestabilan politik serta kemakmuran ekonomi seperti dikecapi sebelum ini.
Kerancakan proses globalisasi juga semakin berkurangan kerana aktiviti pasaran semakin terjejas dengan kelembapan sektor tenaga dan petroleum yang merencat kemakmuran global” Cabaran utama global pada 2016 dan juga 2017 ialah bagaimana untuk menghadapi ancaman Daesh yang sedang melebarkan aktiviti keganasan mereka ke serata dunia” Yang pasti di sebelah Asia Tenggara, isu tuntutan bertindih di Laut China Selatan akan terus merencanakan hubungan geopolitik antara rantau Asia Tenggara dan China”
Mutakhir ini masyarakat global sering dihujani dengan berita palsu. Berita bergerak begitu laju. Maklumat berada di hujung jari dan dalam sekelip mata dapat dikongsi dengan cepat secara global. Ikuti pandangan dan huraian Pengarah, Pusat Dialog Peradaban dan pensyarah di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, Dr Shakila Yacob buruk baiknya perkongsian dan pemindahan maklumat tanpa tapisan pada era siber, esok.

Bookmark the permalink. RSS feed for this post.

Leave a Reply

Swedish Greys - a WordPress theme from Nordic Themepark. Converted by LiteThemes.com.